Khamis, 28 Februari 2013

hiburan merawat jiwa- Mari berQasidah

Hiburan berbentuk kerohanian....x salah kita berhibur asalkan menjurus kepada sesuatu yang mendatangkan kebaikan dan dapat menyuburkan rasa Kecintaan pada Pencipta yang Esa, Agama dan Rasul Junjungan...Jom hiburkan hati serta rohani, rawat minda pada sesuatu yang tidak melalaikan...

INDAHNYA KEHIDUPAN

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh....

setelah berlalunya musim lalu, asal di createkan blog ini cumalah satu daripada syarat kerja tugasan bagi kursus bidang pengajian...terasa sayang untuk mempasifkan blog ni, maka terfikir la, alangkah bagus juga kalau ia dijadikan sebagai satu medium untuk berkongsi apa juga cerita....Makanya, saya menggunakan lah setiap masa untuk tidak dibazirkan... Sebagai mukaddimah bagi tahun 2013 yang dah pun masuk ke bulan ke dua ni ada lah beberapa perkara yang terlintas di kotak fikiran...apa itu? tunggu dulu lah...nt kita buat dalam tajuk yang lebih khusus....Sebagai salah seorang pelajar bidang komunikasi rasanya nak je mencurahkan sedikit sebanyak ilmu yang dipelajari... tak salah rasanya jika kita aplikasikan ke laluan yang betul...BETUL TAK???? Betul la tu (sendiri memberikan jawapan..huhuhu)..

Ahad, 25 November 2012

Catatan Peristiwa: KELAHIRAN PERMATA HATI


CATATAN KELAHIRAN PUTERIKU (SITI HAWA NAJWA BINTI HASBULLAH)...
30 minit selepas kelahiran: Selamat Datang  Sayang
Hawa berusia 1 hari




Abbi dan Hawa
ALHAMDULILLAH...tak terluah rasanya kesyukuran utk kelahiran cahayamata kami yang pertama..Puteri perempuan kami lahir tepat jam 8.48pagi pada 02/11/2009.. Lebih kurang 2 minggu sebelum ulang tahun perkahwinan kami yang pertama pada 15 November 2009. Kami bersyukur dengan anugerah ini kerana ia merupakan hadiah ulangtahun pertama umi dan abi. Perasaan teruja tidah tergambar dek kata-kata kerana kehadiran si kecil ini melengkapkan keluagra ini.  Puteri kami ditakdirkan Allah untuk menjengah dunia tepat pada tarikh jangkaan kelahiran.

Perancangan kami sebagai hamba Allah adalah untuk berusaha melahirkan puteri kami ini secara normal.. pagi..seawal sebelum subuh 2 November 2009 sekitar jam 4.30 pagi, tanda2 awal dengan keluarnya air jernih ..tidak berwarna dan tidak berbau (salah satu tanda kelahiran). Ketika itu aku sedang nyenyak tidur... Pengalaman pertama menyambut kelahiran, sedikit sebanyak kami berdua tiada pengalaman. Tambahan pula tiada sedikit pun tanda rasa sakit.. Aku masih mampu bertenang dan tidak mengejutkan suami yang tidur. Niat hati mahu tunggu sehingga ada tanda rasa sakit. Selang sejam sekali lagi air ketubanku keluar tp masih tiada rasa sakit. Aku mula risau dan mengejutkan suami yang sedang di buai mimpi.

Dalam sekitar jam 6 pagi sedikit demi sedikit kontraksi mula terasa. Suamiku masih lagi boleh bertenang menjamah sarapan. Ketika kontraksi semakin kerap aku mula meminta suami membawaku ke hospital. Kelahiran  musim tengkujuh, suami memapah aku ke kereta dan mengambil semua keperluan. Paling aku tidak dapat lupakan sedang aku berperang melawan kesakitan, suamiku agak kalut maklumlah tiada pengalaman. Kami masih sempat mencari mesin ATM untuk mengeluarkan wang bagi tujuan bil hospital. Tepat jam 7.30pagi aku terus ke Pusat Perubatan Islam An-Nisa, Kota Bharu, Kelanta.Setibanya di unit kecemasan aku terus dibawa ke bilik bersalin.. Alhamdulillah ..bukaan pangkal rahim telah terbuka 5 cm.. Kontraksi makin kuat..dan kali ini.. Masya Allah barulah terasa kesakitan untuk bersalin.. Hanya Allah yang Maha Mengetahui betapa sakitnya rasa nak bersalin. Suami ku masih setia menemani dan memberikan kata semangat.

ketika itu.. sokongan dan dorongan suami adalah kekuatan termahal.. mengalir airmata menahan kesakitan.. sambil bibir dan hati tak putus berzikir dan berdoa..doa nabi Yunus di dalam perut ikan sentiasa aku titipkan .. redha dengan apa yang Allah kurniakan..kesakitan dunia cuba aku hadapi..

Lebih kurang jam 8.15 pagi..bukaan telah hampir ke 10 cm.. Doktor mula bersiap sedia untuk menyambut kelahiran cahaya mata kami. Aku selamat melahirkan puteri kami yang seberat 3.2kilogram tepat pukul 8.48 pagi.  Allahhuakbar! tak terbendung air mata melihat wajah dan mendengar suaranya.. Alhamdulillah.. Syukur Ya Allah...

senyum rezeki...dapat hadiah pertandingan bayi comel

terima kasih wahai suamiku yang setia dan sabar menanti..
terima kasih wahai ibuku yang tidak putus2 berdoa..
terima kasih para doktor yang berusaha bertungkus lumus..berusaha yang terbaik untuk kami..
terima kasih keluarga dan kawan-kawan atas doa dan ingatan..
Syukran LaKa Ya Allah..atas anugerah kehidupan yang tak ternilai..ALHAMDULILLAH Puteri ni kami namakan dengan nama Siti Hawa Najwa Binti Hasbullah. Nama yang cukup ringkas tetapi mempunyai makna yang baik. Kini, detik itu telah berlalu 3 tahun yang lalu. Puteri kami yang manja dengan panggilan Hawa ini membesar dengan sihat. Keletahnya sangat menghiburkan hati dan menunjukkan tahap pemikiran yang membanggakan. Semoga Siti Hawa Najwa Binti Hasbullah menjadi anak yang solehah, taat pada Islam, hormat pada orang tua. Umi doakan Hawa berjaya dunia dan akhirat serta dirahmati Allah S.W.T. Dikaulah permata hati kami.
semoga jadi solehah..Amin
                                                

TIPS


CARA BERDOA MENADAH TANGAN YANG BETUL

          Doa senjata orang mukmin. Pelbagai cara orang menadah tangan ketika berdoa. Kaedah yang baik dan tampak sopan ketika bermunajat dengan allah SWT adalah lambang kesungguhan, lambang penuh pengharapan kita kepada Khalik. Pada tapak tangan kita ada banyak lambang kebesaran dan kemuliaan Allah SWT termasuk 99 nama Allah.
          Kita akan nampak urat tangan kanan dan kiri bercantum seakan membentuk sampan. “Apabila urat tangan itu bertemu ia akan menjadi hufur ‘ba’ . Titik ‘ba’ letak di hati kita. Kedudukannya rendah dari tangan yang kita tadah. Setiap huruf hijaiah di dalam Al-Quran Allah perintahkan satu malaikat menjaganya.Maka malaikat yang menjaga hufur ‘ba’ bernama ‘Har Hayaail’. Malaikat ini akan mengangkat doa kita terus mengadap Allah SWT tanpa sebarang perantara. Oleh itu berdoalah bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan” .
Mencari keberkatan doa…
Doa senjata orang mukmin…. Berikut ada panduan tata cara berdoa iaitu:
1) angkat tangan ke paras dada
2) rapatkan kedua-dua belah tapak tangan
3) “apabila urat tangan bertemu ia akan menjadi seperti huruf ba ب
Titik ba terletak di hati kita. Kedudukannya rendah dari tangan yg kita tadah. Setiap huruh hijaiah didalam al quran ada malaikat yang menjaganya. Huruf ba dijaga oleh malaikat bernama ‘har hayaail’. Malaikat ini akan mengangkat doa kita terus menghadap allah tanpa sebarang perantara. Oleh itu berdoa bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan.
4) duduklah dalam keadaan sopan seperti duduk iftirasy dan duduk tahiyat akhir. Jika berdiri tegakkan badan betul-betul dan jangan menyandar / bersandar.
5) sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran allah dan menyebut nama-nama allah yang lain yang bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu. Cthnya… jika berdoa mohon dipermudahkan rezeki, sebutlah nama Allah Ar-Razaq dan disusuli juga dengan bersalawat nabi saw
6) berdoalah bersungguh-sungguh dari hati. Gunalah bahasa yg dapat difahami kerana allah maha pengasih dan sangat memahami dan mendengar segala bicara tulus hamba-hambanya
7) ajarkanlah adab berdoa kepada seluruh ahli keluarga sedari usia kecil kerana insya allah ia akan dapat membentuk peribadi baik dalam kehidupan.

ULASAN BAUCER BUKU 1 MALAYSIA


ULASAN BAUCER BUKU 1 MALAYSIA



Pemberian baucar buku 1Malaysia berjumlah RM260 juta telah diagihkan kepada 1.3 juta pelajar Tingkatan 6, Matrikulasi, Asasi, politeknik, institusi pengajian majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran yang benar-benar penting mengikut kPeutamaan. tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) adalah durian runtuh yang perlu digunakan sewajarnya oleh pelajar. 
Tempoh sah laku baucar berkenaan bermula dari 1 Januari sehingga 31 Mac 2012 dan pelajar telah membuat pelbagai perancangan ke atas pembelian bahan rujukan seperti buku akademik, jurnal,
Pelajar boleh berbincang dengan rakan lain untuk menyenaraikan bahan akademik diperlukan bagi mengelakkan pembelian bahan sama. Bahan rujukan akademik berkenaan boleh dimanfaatkan bersama bagi tujuan pembelajaran. Cadangan mengenai kesesuaian sesuatu bahan rujukan oleh tenaga pengajar juga diperlukan bagi memastikan bahan rujukan akademik yang dibeli mampu memberikan maklumat maksimum kepada pelajar. 
Malah, pihak penerbit atau kedai buku disarankan memberikan potongan harga bagi merancakkan pembelian buku rujukan. Ia dapat menarik minat pelajar untuk menambah kuantiti bahan rujukan yang boleh dibeli. 
Pelajar juga boleh mempelbagaikan jenis bahan rujukan yang akan dibeli dan menggunakan baucar itu semaksimum mungkin. Kebijaksanaan pelajar dalam memilih bahan rujukan akademik yang tertakluk kepada jumlah RM200 adalah penting bagi mengelakkan pembelian bahan rujukan yang kurang menepati kehendak kursus atau pengajian yang mereka ikuti.
            Sebagai ganjaran atas faedah baucar yang diberikan kepada pelajar, maka sewajarnya mereka berusaha bersungguh-sungguh dan mencapai kecemerlangan dalam pengajian
mereka. Sesungguhnya mereka adalah kumpulan pelajar yang bertuah dan tidak dilupakan dalam merealisasikan matlamat pendidikan negara. 

                           
 Kriteria kelayakan penerimaan Baucer Buku 1Malaysia

Pelajar yang layak menerima bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) adalah terdiri daripada:
a)      Warganegara Malaysia;
b)      Lepasan SPM atau setaraf dengannya yang sedang melanjutkan pengajian di pusat matrikulasi/ tingkatan 6/ Politeknik/ institusi pengajian tinggi dalam bidang diploma, diploma lanjutan, ijazah, sarjana dan doktor falsafah;
c)      Sedang melanjutkan pengajian dan status aktif di pusat matrikulasi/ tingkatan 6/ institusi pengajian tinggi pada Januari 2012;
d)      Pelajar yang sedang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa dan separa masa;
e)      Pelajar yang sedang mengikuti pengajian di bawah program kerjasama dan mendaftar di bawah anak syarikat IPT berkenaan;
f)       Menuntut di institusi pengajian di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi atau diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia;
g)      Pelajar di Institusi Pendidikan Guru (IPG) di bawah program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) tidak layak menerima baucar ini kerana telah diberi elaun buku sebanyak RM600; dan
h)      Pelajar yang sedang mengikuti bidang Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tidak layak menerima bantuan ini kerana pelatih KPLI adalah pelatih pra-perkhidmatan (telah diberi elaun).

Tempoh pelaksanaan

Inisiatif ini adalah secara one-off bagi sesi bermula 2012 sahaja. Baucar ini sah diguna pakai selama 3 bulan sahaja iaitu 1 Januari sehingga 31 Mac 2012.

 Kadar BB1M

Setiap pelajar yang layak menerima baucar buku berjumlah RM200 berupa baucar RM50 sebanyak 4 keping.

Tatacara penggunaan baucar

a)      Baucer akan dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dan seterusnya mengedarkan kepada semua agensi/institusi;
b)      Baucer ini adalah untuk pembelian buku - buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing;
c)      Pelajar boleh menggunakan baucar ini di mana-mana kedai buku yang menyertai pelaksanaan inisiatif ini. Pelajar perlulah mengisi nama dan kad pengenalan di baucar tersebut. Pelajar perlu menunjukkan kad pengenalan ketika menggunakan baucar ini;
d)      Sekiranya amaun pembelian adalah kurang daripada RM200, pelajar dibenarkan membeli peralatan pembelajaran seperti buku catatan dan alat tulis.Baki baucar yang tidak habis digunakan dianggap luput dan tidak boleh dituntut;
e)      Jika amaun yang dibeli melebihi RM200, pelajar perlu membayar sendiri dan tidak boleh membuat tuntutan tambahan kepada Kerajaan;
f)       Baucar buku yang diterima tidak boleh ditukarkan dalam bentuk wang tunai;
g)      Tempoh sah laku baucar adalah selama 3 bulan sahaja;
h)      Tuntutan bayaran balik baucar akan dibuat oleh kedai buku terus kepada Bank Simpanan Nasional (BSN). Tuntutan hanya boleh dilakukan sehingga 30 April 2012;

            Secara kesimpulannya, pemberian Baucer Buku 1Malaysia ini merupakan langkah terbaik yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu pelajar untuk perbelanjaan alat tulis dan bahan rujukan. Sebagai pelajar, kita seharusnya bijak merancang penggunaan baucer ini agar kemudahan ini tidak disia-siakan. Semoga inisiatif ini akan terus dilaksanakan untuk masa akan datang.

                                                          

Catatan Pengembaraan: CATATAN PERCUTIAN KE CAMERON HIGHLAND


CATATAN PERCUTIAN KE CAMERON HIGHLAND
Sempena Cuti Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan yang ke5  pada 11 dan 12  November 2011 yang jatuhnya pada hari Jumaat dan Sabtu, aku dan keluarga memilih untuk bercuti ke Cameron Highland. Kami merancang untuk bercuti sehingga ke hari Ahad 13 November 2011. Menariknya ini adalah kali pertama aku bercuti ke Cameron Highlands. Tentulah semahu-mahunya ingin mengambil peluang untuk lama sedikit di Cameron Highlands. Maklumlah alang-alang dah sampai elok digunakan peluang yang ada.
Kami berkonvoi 3 buah kereta dari Kota Bharu dan melalui Jalan Lojing, Gua Musang. Keadaan jalan yang memang bahaya, berliku-liku dan berbukit-bukit kadang kala membuatkan aku pening-pening lalat.

Hari Pertama
Kami bertolak dari Kota Bharu seawal pagi. Sampai di Tanah Rata lebih kurang jam 1.30. Kami awal-awal lagi telah menempah penginapan di Hotel Cool Point. Selepas check-in kami berehat seketika. Sebelah petangnya kami memulakan aktiviti lawatan ke ke Taman Agrofarm. Di sini terdapat pelbagai jenis buahan, sayuran dan bunga-bungaan seperti strawberi, anggur, salad, kailan, tomato, kaktus, ros dan sebagainya. Walaupun tempat ini tidak terlalu besar tetapi pemandangannya amat menarik sekali. Selepas puas bergambar kami meneruskan aktiviti menuju ke pasar malam Brinchang. Aduh.. sesaknya jalan menuju ke pasar. Ramai orang datang bercuti. Kenderaan dari seluruh pelusuk negeri datang bercuti sempena cuti sekolah. Hinggakan kami terpaksa berpatah balik 2-3 kali untuk mencari tempat parking. Akhirnya dapat juga tempat parking. Di pasar sekadar melihat kerenah peniaga dan pembeli yang macam-macam ragam. Dah namanya Cameron Highlands sudah pastilah yang paling menarik sekali adalah kesegaran sayur-sayurannya yang berbagai jenis. Sempat jugalah kami membeli sedikit sebanyak untuk dibawa pulang.

Sebelah malam.. aktiviti makan malam, bersembang dan berehat. Memang seronok kalau dapat bercuti ramai2 bersama keluarga.
Sebelah malam cuaca agak sejuk. Memang menjadi kemestian memakai sweater, sarung tangan dan kaki. Tidak perlu lagi kipas atau aircond.

Hari Kedua
Sebelah pagi acara bebas. Masing-masing membuat urusan tersendiri mengikut kesesuaian. Aktiviti keluar diteruskan di awal petang. Kali ini membuat lawatan ke Kampung Taman Sedia. Satu-satunyanya taman strawberi yg dimiliki oleh bumiputera melayu. Buah strawberi tak banyak yang masak. Baru lepas dipetik kata pemilik ladang di situ. Kawasan sekitarnya agak menarik juga. Di sini pun sibuk bergambar lagi.
Tidak sah jika ke Cemeron tidak melawat taman rama-rama. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk melawat taman rama-rama dan serangga. Menerjah masuk ke taman tersebut kami di sambut oleh ratusan rama-rama yang begitu cantik dan jinak. Selain rama-rama dan serangga terdapat juga haiwan spesies lain seperti ular, katak, iguana dan lain-lain.

Selepas itu kami meneruskan lawatan menuju ke ladang teh Cameron Valley. Ini tempat yang paling teruja untuk dikunjungi. Pemandangan di sini sangat cantik sekali. Puas jugala masing-masing dapat bergambar dengan gaya dan aksi yg pelbagai. Sempat juga membeli buah tangan di kedai teh yg terdapat di sini.
Pada sebelah petang kami ke pasar Brinchang sekali lagi untuk membeli belah buat kali terakhir sebelum pulang pada esok hari. Macam-macam yang dibeli. Seronok dapat berjalan-jalan di sini. Macam-macam barang jualan seperti makanan, pakaian, buahan, sayuran dan pelbagai jenis hasil tanaman yg terdapat di sini. Memang menarik sekali.
Sebelah malam sekadar berehat di bilik hotel sambil makan-makan dan bersembang.

Hari Ketiga
Hari terakhir percutian. Kami bangun seawal pagi dan mengemas apa yg perlu. Selepas sarapan pagi kira-kira jam 10.30 kami memulakan perjalanan balik melalui jalan yang sama semasa ke Cameron Highlands dari Kota Bharu. Dalam perjalanan balik sekali lagi singgah di ladang teh menghala balik untuk bergambar.
Jam 3.30 petang perjalanan balik diteruskan. Jalan agak lancar. Kami singgah di hentian rehat dan rawat Gua Musang untuk makan dan berehat seketika. Sesudah itu perjalanan diteruskan dan sampai di Kota Bharu lebih kurang jam 4.30 petang.
Tamatlah sudah percutian keluarga yang meninggalkan pelbagi kenangan manis. Semoga kami berpeluang untuk berkunjung lagi ke Cameron Highland pada masa akan datang.



Antara gambar-gambar percutian yang diabadikan.










Sabtu, 24 November 2012

ARTIKEL: KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM GAGASAN 1 MALAYSIA


KEDUDUKAN BAHASA  MELAYU DALAM GAGASAN SATU MALAYSIA
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah asas kontrak sosial rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera (Awang Sariyan, 2006, 2007, 2009). Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.  Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan semenjak detik pengisytiharan tersebut Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang telah diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan memperkukuhkan kedudukan sebagai bahasa pengantar dalam institusi pendidikan menerusi Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996
Berdasarkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi tidak perlu dipersoalkan lagi apabila rata-rata anak-anak berinteraksi dengan rakan sebaya di sekolah, majikan dan pekerja berkomunikasi di pejabat bahkan urusan jual beli di pasar raya juga kita sering mendengar Bahasa Melayu diujarkan.
Dalam konteks satu Malaysia, interaksi amat penting bagi menentukan supaya hubungan antara masyarakat pelbagai ras dan etnik dapat terus berlangsung atau dipertahankan. Oleh itu, perlu pengetahuan luas berkenaan bahasa, loghat, jargon, slanga, gurauan, cerita rakyat, budaya setempat dan sebagainya. Pokoknya, kita mesti tahu pelbagai perkara tentang bahasa. Fungsi peribadi pula ialah fungsi bahasa memberi kesempatan kepada manusia untuk menyatakan perasaan, emosi, peribadi serta reaksinya.

            Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan sebagai wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsanya. penobatan  bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menjadi asas kenegaraan dan kebangsaan yang penting. Sebagai bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik yang dikenal sebagai negara Malaysia, menjadi asas jati diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan menjadi wahana perpaduan bangsa melalui komunikasi dalam pelbagai ranah. Sebagai bahasa rasmi, Bahasa Melayu menjadi salah satu unsur penggerak jentera pentadbiran negara, dengan peranannya sebagai wahana komunikasi rasmi dalam pelbagai urusan pentadbiran sehingga kecekapan pentadbiran sebahagiannya bergantung pada kecekapan bahasa yang ada pada penjawat awam pada pelbagai peringkat. Bahasa Melayu adalah sebagai wahana kepada para ahli politik untuk menyampaikan maklumat dan pandangan atau pendapat.  Bahasa Melayu digunakan  sebagai alat pengisian fikiran, alat melahirkan pendapat dan menyatupadukan rakyat Malaysia. Kestabilan politik hanya dapat diwujudkan apabila semua kaum dapat bersatu padu. Wawasan Negara dapat dicapai apabila rakyatnya saling bertolak ansur, berhemah dan menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, Bahasa Melayu sangat sesuai digunakan untuk merealisasikan impian kerajaan kerana ianya mudah dan senang difahami oleh semua warga.
             Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi.  Bahasa ini digunakan secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik. Dalam Kitab Sejarah Melayu menyebutkan bagaimana para pedagang bertungkus lumus mempelajari Bahasa Melayu dan menguasainya bagi memudahkan mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah lama menggunakan bahasa itu. Dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian turut menggunakan Bahasa Melayu bertulis jawi. Ini membuktikan Bahasa Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak British. Kalau mereka tidak mengerti pun ada munsyi atau guru bahasa Melayu yang akan mengajar mereka.
Berdasarkan hal tersebut, sebagai rakyat yang berpegang kepada prinsip “negara kita tanggungjawab kita”, maka sewajarnyalah kita berusaha untuk memperteguh keyakinan terhadap kemampuan bahasa kebangsaan kita.  Seterusnya, aspek ekonomi pula lebih memperlihatkan penghapusan dasar “Pecah danPerintah” yang diperkenalkan oleh penjajah barat sebelum Tanah Melayu (Malaysia) mencapai kemerdekaan. Meskipun sudah 54 tahun, Malaysia mencapai kemerdekaan, namun kesan daripada dasar ini masih jelas kelihatan. Oleh itu, menerusi gagasan satu  Malaysia ini, sektor ekonomi lebih tertumpu kepada kesamarataan penguasaan ekonomi masyarakat.
Dalam meluaskan ekonomi seperti perniagaan, Bahasa Melayu digunakan secara meluas. Bahasa yang paling baik digunakan untuk berkomunikasi semasa proses jual beli antara kaum. Sesuai dengan konsep satu Malaysia  yang menggalakkan semua kaum bersama-sama menjana ekonomi negara demi kemajuan Negara Malaysia. Bahasa Melayu memudahkan kaum-kaum berinteraksi dan memahami kehendak masing-masing.
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Perkara ini terkandung dalam Laporan Razak pada tahun 1957 dan tahun 1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat.
Fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mampu menyemarakkan lagi semangat satu  Malaysia dengan membawa dimensi baharu dalam arena kebahasaan. Menurut Havranek, di dalam Garvin (1984), sesuatu bahasa yang mencapai taraf sebagai bahasa ilmu perlu mempunyai dua ciri penting iaitu keintelektualan dan kesempurnaan bahasa. Melalui keintelektualan, bahasa tersebut mestilah mempunyai keupayaan menyampaikan hujah dan buah fikiran yang berkesan dan tepat yakni ampu menyampaikan kesinambungan dan kerumitan fikiran tanpa melalui pelbagai rintangan. Kesempurnaan bahasa pula bermaksud satu bahasa yang akan berfungsi sebagai bahasa ilmiah harus mempunyai sistem dan peraturan bahasa yang lengkap yakni mempunyai sifat-sifat kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahan.
Selaras dengan konsep satu Malaysia, Bahasa Melayu bukan sahaja mampu menyampaikan pelbagai ilmu malahan ia juga memikul tanggungjawab yang besar sebagai bahasa persatuan dan kesatuan kaum di Malaysia. Perkara ini telah dibuktikan sejak sekian lama kerana melalui perpaduan yang kukuh dan persefahaman kaum yang kuat dalam kalangan masyarakat, suasana politik dan sosial juga turut stabil sekali gus merancakkan lagi sektor ekonomi negara. Secara tuntasnya, inilah berkat hasil bahasa Melayu yang dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara ini sejak awal tahun 70-an.
Bahasa Melayu memudahkan penguasaan ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia. Selaras dengan konsep rakyat didahulukan, perpaduan akan dikecapi. Nikmat daripada kesejahteraan rakyat maka dapatlah kita merealisasikan pencapaian melalui ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu telah memperkasa anak watan dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan, sains dan teknologi, ekonomi sekali gus dapat melahirkan golongan kelas menengah yang menjadi sinergi dan sumber manusia yang terus menjadi pemangkin pembangunan bangsa dan negara.


Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa ilmu. Bahasa ilmu adalah bahasa yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Perkara 152 Perlembagaan Negara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu. Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai peneguhnya iaitu memberi halatuju kepada bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran 1961. Antaranya menyebut mengenai peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dimana bahasa kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama dalam institusi pendidikan.
Menurut ensiklopedia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ialah peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti fizik, kimia, kejuruteraan, perubatan, ekonomi, undang-undang, kesusasteraan, dan agama. Di sini, dapat dinyatakan bahawa Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan setanding dengan bahasa-bahasa yang lain daripada segi kesediaan menerima maklumat atau pun sebagai bahasa ilmu dan ianya telah dijamin kukuhnya di sisi Perlembagaan Negara serta Dasar Pendidikan Negara. Ciri-ciri yang terdapat dalam bahasa Melayu itu yang menjadikannya sebagai bahasa wahana ilmu kerana kemantapan yang ada memudahkan ia menyerap pelbagai budaya ilmu.
Bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaannya, mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaiannya. Terbukti bahawa sesuatu bahasa tidak pernah menjadi penghalang kemajuan. Oleh yang demikian, Bahasa Melayu mampu merealisasikan gagasan Satu Malaysia melalui bahasa yang boleh membawa kemajuan dengan semangat semua kaum bersama-sama berusaha dan berjaya.
Institusi-institusi pendidikan di negara ini yang berlandaskan kurikulum yang telah ditetapkan Dasar Pendidikan Negara perlu memperkenalkan dan menerapkan nilai-nilai Satu Malaysia dalam diri dan mentaliti pelajar agar memahami kepentingan dan kewajaran gagasan ini diperkenalkan. Secara definisi nya, konsep satu Malaysia dalam pendidikan merangkumi pembentukan sistem pendidikan yang ideal dan sesuai untuk keseluruhan masyarakat amnya. Penghapusan dasar pendidikan yang hanya berkepentingan kan sesebuah bangsa dan menafikan hak golongan tertentu merupakan matlamat satu Malaysia dalam pendidikan. Pembentukan satu jenis sekolah sahaja yang menggunakan satu bahasa penghantar yang rasmi iaitu Bahasa Melayu mampu melahirkan bangsa Malaysia yang mantap dari segi perhubungan antara kaumnya.
Justeru itu, tindakan-tindakan seperti ini amat membantu dalam melahirkan golongan pemimpin yang berfikiran kreatif dan berpandangan jauh untuk masa depan negara mereka yang tercinta. Bahasa Melayu memudahkan penguasaan ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia. Selaras dengan konsep rakyat di dahulukan, perpaduan akan dikecapi.
Membina budaya ilmu, sains dan teknologi dalam bahasa Melayu sehingga keperbatasan terkedepan dalam penerokaan ilmunya melalui peruntukan kewangan dana yang semaksimum dalam bentuk belanjawan kerajaan dan sumbangan daripada pihak sektor swasta sebagai usaha memenuhi tanggungjawab sosial untuk menggalakkan pengkaryaan dalam segala bidang ilmu termasuk sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, sama ada karya asli mahupun terjemahan peruntukan kewangan itu adalah pelaburan untuk membangunkan bidang ilmu dan sumber manusia jangka panjang dan bukan sebagai pelaburan komersial jangka pendek yang dikira berapa untung dan ruginya.
Dengan wujudnya dana dan peruntukan kewangan yang mencukupi, maka skim penggalakan dan insentif yang menarik ditawarkan kepada para ilmuwan dan ahli sains untuk menulis dan menterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu buku dan artikel ilmiah dan profesional dalam bidang pengkhususan masing-masing.
Kerajaan juga telah merancang dan melaksanakan penghasilan, penulisan, penterjemahan, penyebaran, penggalakan, penggunaan dan penilaian buku-buku dan bahan-bahan rujukan dalam pelbagai media dalam semua bidang sains, teknologi dan ilmu pengetahuan peringkat tinggi dalam Bahasa Melayu. Pakar dan ahli bahasa serta penterjemah yang bertugas khusus untuk meneliti dan menilai penerbitan-penerbitan penting dari seluruh dunia dalam bidang masing-masing, dan seterusnya merancang dan menyelaraskan penterjemahan, penulisan, percetakan dan penyebaran serta penggunaannya dalam kalangan komuniti para sarjana.
Kerajaan juga berhasrat untuk menubuhkan hubungan dan kerjasama yang erat dalam bentuk penyelidikan, penerbitan, pengalaman, penyebaran dan promosi tentang semua perkara yang berkaitan dengan bahasa, sastera, budaya, sains, teknologi, perindustrian, perdagangan, perhubungan antarabangsa dan diplomasi dengan negara-negara dan institusi profesional di dalam dan di luar negara. Selaras dengan gagasan satu Malaysia, Bahasa Melayu dimartabatkan dengan cara menggunakannya dalam penterjemahan dan penulisan bahan.
Bahasa Melayu kini tercabar dari sudut fungsi wahana penyampaian ilmu dan maklumat. Perkembangan segala macam ilmu dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, memang menjadikan bahasa sebahagian dalam keperluan itu. Usaha penulisan dan penerbitan buku-buku ilmu, khususnya dalam bidang sains dan teknologi maklumat tidak bergerak sejajar dengan perkembangan ilmu dan pembangunan Negara.
Maka menyedari hakikat itu DBP telah memainkan peranan yang begitu aktif untuk membentuk dan menyelaraskan istilah-istilah baru dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan teknologi, undang-undang, pendidikan, perbankan, komputer dan internet.
Bahasa Melayu juga mempunyai peranan sebagai alat komunikasi antara kerajaan dengan orang ramai, antara sektor awam dengan swasta dan korporat. Begitu juga sektor swasta dan korporat dengan pelanggan dalam negeri atau sebaliknya. Bahasa Melayu tidak ketinggalan digunakan dalam penyampaian maklumat bagi segala bentuk iklan, nama khas, pengumuman, arahan dan seumpamanya dipamerkan di tempat awam atau di khalayak ramai atau siaran melalui media massa. A. Aziz Deraman (2006) dalam kertas kerjanya bertajuk “Kebudayaan, Pendidikan dan Bahasa Melayu” menyatakan bahawa Bahasa Melayu sudah mengambil tempat yang sewajarnya dan dimartabatkan sebagai bahasa nasional Negara-negara serumpun selepas kemerdekaan Indonesia (1945), Malaysia (1957) dan Brunei Darussalam (1984). Bahasa Melayu berjaya dalam banyak lapangan kehidupan sebagai bahasa ilmu, alat komunikasi dan pemersatuan rakyat. Dalam tempuh relatifnya singkat, baik di Malaysia atau Indonesia, Bahasa Melayu dengan cepat mengambil alih bahasa Inggeris atau bahasa Belanda sebagai alat pemersatuan bangsa dan bahasa yang begitu terbuka berkembang maju mengikut keperluan negara.
Kedudukan Bahasa Melayu diperkukuhkan lagi dalam gagasan satu Malaysia yang telah dilancarkan. Ianya dibuktikan dengan penggunaannya di tempat awam, penggunaan nama khas dan melalui media massa berstatus negara, menjadi wahana pemersatuan warganegara dan rakyatnya dengan konsep ‘satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia.’ Selain itu, Bahasa Melayu menjadi wahana komunikasi umum (lisan dan tulisan) antara kelompok masyarakat penutur bahasa dan kegunaan umum antara individu berlainan etnik.
Medium  perpaduan
            Menurut Tan Sri Dr, Jins Shamsuddin (Pelita Bahasa, Januari 2011), kedudukan bahasa Melayu dalam gagasan satu Malaysia ialah sebagai bahasa perpaduan rakyat di Negara ini. Ianya berfungsi sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa di Negara ini. Pandangan ilmiah Awang Sariyan pula menggambarkan Bahasa Melayu digunakan secara bersama oleh rakyat Malaysia pelbagai kaum sekaligus menyuguhkan gagasan murni satu Malaysia.
Selaras dengan konsep satu Malaysia, Bahasa Melayu bukan sahaja mampu menyampaikan pelbagai ilmu malahan ia juga memikul tanggungjawab yang besar sebagai bahasa persatuan dan kesatuan kaum di Malaysia. Perkara ini telah dibuktikan sejak sekian lama kerana melalui perpaduan yang kukuh dan persefahaman kaum yang kuat dalam kalangan masyarakat, suasana politik dan sosial juga turut stabil sekali gus merancakkan lagi sektor ekonomi negara.
Gagasan satu  Malaysia sudah pastinya dapat diwujudkan melalui pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Penyatuan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni seperti yang tercatat dalam matlamat pendidikan kebangsaan, iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
Selaras dengan konsep satu Malaysia, Datuk Seri Najib menekankan supaya semua rakyat di Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai Bahasa perpaduan dan lambang jati diri rakyat terhadap negara tercinta. Kedudukan Bahasa Melayu terus diangkat dan dijulang agar ianya tidak mati atau hapus dengan sikap rakyat yang mengagung-agungkan bahasa Inggeris dan menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan seharian.
Pembentukan satu negara bangsa mengikut gagasan satu Malaysia  menjadi syarat pada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu perasaan kepunyaan bersama sebagai satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan negara, kesetiaan pada negara, keharmonian dan toleransi antara kaum menjadi fokus penekanannya, bukan lagi pada satu kebudayaan kebangsaan yang utuh. Melalui kebudayaan kebangsaan Bahasa Melayu yang digunakan bersama akan menjadi lambing jati diri rakyat Malaysia yang mempunyai satu budaya satu bahasa.
Kejayaan sesebuah negara tidak diukur daripada aspek fizikal dan kebendaan semata-mata, sebaliknya lebih bersifat menyeluruh dan bersepadu. Hakikatnya, bahasalah alat utama yang dapat memainkan peranan iaitu melalui penggunaan satu bahasa yang sama, rakyat dapat disatukan.
Frasa “bahasa melambangkan bangsa,” menyatakan peri pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu selaku bahasa yang telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan.  Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara kita.  Hal ini telah termaktub dalam Perlembagaan negara.  Namun begitu, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mendokong setiap amanah yang dipertanggungjawabkan terhadap semua individu.     
Bahasa yang berkuasa menggambarkan bangsa yang berkuasa. Ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” juga menunjukkan bahawa sesuatu bahasa itu dapat maju jika bangsa itu pun maju. Namun begitu, untuk mengetengahkan Bahasa Melayu, bahasa lain tidak perlu ditolak. Dalam era globalisasi, pengetahuan tantang bahasa lain amat perlu dan tidak merugikan bangsa. Bangsa itu akan maju dengan mempelajari ilmu pengetahuan daripada bahasa lain, lalu disebarkan ilmu kepada bangsanya melalui pengetahuan yang sudah dialih ke dalam Bahasa Melayu melalui usaha penerbitan bahan bacaan.
Di Malaysia, rakyatnya lebih dikenali sebagai orang Malaysia atau Bangsa Malaysia. Jika mereka orang Cina atau orang India, ditambah gelaran sebagai Cina Malaysia atau India Malaysia. Ini menunjukkan konsep Satu Malaysia terhasil daripada penggunaan satu bahasa iaitu Bahasa Melayu.
Menurut Kamarudin Husin dalam Bahasa Kebangsaan (A), “secara khusus fungsi utama bahasa kebangsaan adalah untuk menerbitkan lambang aspirasi dan semangat kebangsaan dan kemerdekaan. Tidak ketinggalan juga, pengisian bahasa kebangsaan dapat bertindak sebagai alat perhubungan, dan dengan demikian akan menghasilkan satu masyarakat yang tidak mempunyai satu pandangan yang begitu berbeza. 
            Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi bukti Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berfungsi untuk menyatukan rakyat, mampu mengelakkan prasangka antara kaum, berjaya membangkitkan semangat perpaduan antara kaum yang seterusnya mewujudkan rakyat berbilang kaum yang bersatu padu, bekerja sama dan hormat-menghormati dalam usahasama memajukan negara. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ini juga berfungsi untuk melahirkan semangat patriotisme kepada seluruh warga negara yang tidak lagi dibelenggu bahasa mahupun pemikiran penjajah.
            Melalui gagasan satu Malaysia ini, kedudukan  Bahasa Melayu dalam penyatuan kaum dapat melahirkan semangat cintakan negara. Hal ini dapat memupuk kerjasama antara semua kaum untuk mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia sebagai mengekalkan identiti rakyat Malaysia yang juga dikenali sebagai Bangsa Malaysia

Kesimpulannya, Bahasa Melayu memainkan peranan yang cukup penting dan menjadi tunjang serta teras utama dalam konsep satu Malaysia. Ini menunjukkan bahawa gagasan satu Malaysia yang dicetuskan  oleh Perdana Menteri adalah selangkah di hadapan kita. Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa satu Malaysia adalah langkah yang bijak dan bukan lagi penghalang ke arah usaha murni kerajaan ini kerana kita adalah satu bangsa, satu bahasa dalam Gagasan Satu Malaysia

BIBLIOGRAFI
A.Aziz Deraman (2007). Bahasa Melayu dan Cabaran Global. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa, hlm 26-29.
Abdullah Hassan (1987) isu-isu perancangan bahasa: pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Abdullah Hassan(1987) 30 Tahun perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan bahasa Dan Pustaka.
Ainon Muhammad, Dasar dan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi
dan Bahasa Kebangsaan, Seminar Bahasa Malaysia, di Universiti Malaya, 1953.
Aminuddin Mansor (2011). Bahasa Menunjukkan Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa, hlm 52-53.
Armin Azhari Saleh (2011). Pengguna Penentu Hidup Matinya Bahasa. Kuala Lumpur: Pelita Bahasa, hlm 28-29.
Asmah Haji Omar (1985) Bahasa Malaysia Saintifik. Kuala Lumpur.Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Haji Omar (1985) Perancangan Bahasa Dengan rujukan Khusus Kepada Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 2006.  Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 2007. “Keunggulan Bahasa, Persuratan dan Tamadun Melayu”. Ucap Utama Kolokium Pasca-Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), GAPENA, Persatuan Penulis Pulau Pinang  dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (27 Mac 2007) di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang. Terbit dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia 2007.
Awang Sariyan. 2009. Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik MalaysiaFauzilahyatun Mustafa (2010). Bahasa Melayu dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Pelita Bahasa, hlm 13-15.
Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad (2011). Bahasa Melayu dan Tamadun Bangsa. Kuala  Lumpur: Dewan Bahasa, hlm 24-26.
Mejar Dr. Faiz Khaleed (2011). Orang Rusia Menyanjung Bahasa Mereka. Kuala Lumpur : Pelita Bahasa, hlm 28-29.